Thursday, February 27, 2014

MENGENAL ALLAH - PESONA ILMU



20 - Tiada ditinggalkan sesuatu daripada bebal olih barangsiapa berkehendak ia mengadakan pekerjaan pada waktu yang lain daripada yang telah dinyatakan Allah akan dia dalamnya.

21 - Memindahkan engkau akan segala amal atas diperolih selesai itu setengah daripada kekurangan 'akal segala diri mu. Jangan kau tuntut daripada Allah bahawa dikeluarkannya engkau daripada suatu hal supaya dikerjakannya engkau pada yang lain daripada hal itu maka jikalau dikehendakinya akan dikau nescaya dikerjakannya akan dikau dengan tiada mengeluarkan diri mu. 

22 - Tiada jua berkehendak cita orang yang menjalani jalan Allah bahawa berhenti ia tatkala dibukakan baginya daripada segala ilmu dan ma'rifah melainkan menyeru dia segala lisanunhal yang telah dibukakan baginya itu demikian bunyinya , yang kau tuntut akan dia itu lagi dihadapan mu.




23 - Dan tiada berhias segala zohir mahkotanya dengan hias yang mencarikkan bagi segala 'adat melainkan menyerui kau segala hakikatnya demikian bunyinya , hanyasanya kami fitnah maka jangan engkau kufur akan nikmat Allah atas mu. 

24 - Tuntut mu akan sesuatu daripadanya itu seolah olah tugas baginya lalai daripada yang telah dijanjikannya pada azali kerana jika engkau berjabat kepadanya nescaya tiada kau tuntut daripadanya sesuatu yang sudah dibahaginya pada azali melainkan kerana 'ubudiah jua dan tuntut mu akan dia itu sebab jauh engkau daripadanya kerana jikalau ingat engkau akan hampirnya nescaya tiada kau tuntut akan dia kerana yang hadir itu tiada dituntut akan dia.



25 - Dan tuntut mu bagi yang lain daripadanya itu yakni berhadap mu kepada yang lain daripadanya itu kerana sedikit ma'lum daripadanya yakni kepadanya kerana jikalau kau qadarkan ia dengan sebenar benar qadarnya nescaya tiada engkau berhadap kepada yang lain daripadanya itu. Dan tuntut mu daripada itu yang lain daripadanya itu kerana diperolih jauh mu daripadanya kerana jika engkau hadir dengan hati mu sertanya nescaya tiada sah engkau berhadap kepada yang lain daripadanya. 

26 - Tiada ada daripada nafas yang kau keluarkan itu melainkan adalah baginya untung pada mu lalukannya jua akan dia [ kata Sya'rani ] bilang segala nafas tiap tiap hari seribu dua puluh empat nafas maka tiap tiap satu nafas itu diperuntungannya ditaqdid Allah disampainya jua akan dia , wabillaahittaufik wallahu'alam. 

                                                   --------------------------------------------

*** Inilah bahagian terakhir dalam bab pengenalan..

*** Mereka yang berjaya menetapkan disiplin ilmu akan mendapat peringatan secara langsung olih pandangan hati dalaman mereka sendiri disamping bantuan guru dan rakan rakan. Sementara bagi yang mempunyai maksud dan niat yang berbagai selain menuntut ilmu akan mula merasa berat dan mula jemu.

*** Sesetengah penuntut mula berhias dengan berpakaian seperti orang alim atau seperti ahli sufi dan bercakap berkobar kobar membanggakan diri sedangkan dia belum lah kemana mana dalam pencapaiannya. Semua ini hanyalah pesona ilmu sahaja bukan pencapaian yang sebenarnya dan tidak lebih adalah tipu daya  keatasnya sahaja.

*** Kepada mereka yang berguru maka pada peringkat ini guru akan memperbetulkan semula mana mana kekurangan muridnya sebelum membenarkan mereka meneruskan perjalanan kehadapan. Jarang guru melepaskan muridnya yang belum kesampaian keperingkat seterusnya melainkan jika terdapat perkara yang lebih utama.

***






Wednesday, February 26, 2014

MENGENAL ALLAH - WUJUD


14 - Dan setengah daripada yang menunjukkan akan dikau atas wujud sifat qahhar subhanahu wata'ala bagi segala hambanya bahawa didindingnya akan dikau daripadaNya dengan yang tiada maujud sertanya. 

15 - Betapa terupa mendinding Dia sesuatu padahal Ia jua menyatakan tiap tiap sesuatu. Betapa terupa mendinding Dia sesuatu padahal Ia jua yang telah nyata dengan tiap tiap sesuatu. 

16 - Betapa terupa bahawa mendinding Dia sesuatu padahal Ia jua yang telah nyata pada tiap tiap sesuatu. Betapa terupa bahawa mendinding Dia sesuatu padahal Ia jua yang telah nyata bagi tiap tiap sesuatu.

17 - Betapa terupa bahawa mendinding Dia sesuatu padahal Ia jua yang nyata dahulu daripada wujud tiap tiap sesuatu. Betapa terupa bahawa mendinding Dia sesuatu padahal Ia jua yang terlebih nyata daripada tiap tiap sesuatu. 


18 - Betapa terupa bahawa mendinding Dia sesuatu padahal Ia jua yang esa yang tiada sertanya sesuatu. Betapa terupa bahawa mendinding Dia sesuatu padahal Ia jua terlebih hampir kepada mu daripada tiap tiap sesuatu. Betapa terupa bahawa mendinding Dia sesuatu dan jikalau tiada keranaNya nescaya tiada diperolih wujud tiap tiap sesuatu. 

19 - Hai ajaib sekali kali betapa nyata wujud itu pada 'adam. Atau betapa sabit yang hadath itu serta yang bagiNya bersifat qidam.
                                                                  ----------------

*** Penerangan yang berulang ulang bagi menjelaskan betapa wujudnya Allah sangat jelas dan tidak diragui lagi.

*** Terdapat juga sesetengah pihak seperti sengaja mengulas bab ini secara sangat keliru dan berbelit belit. Sebagai contohnya ada yang mengulas dekatnya Allah kepada makhluk itu sehingga tiada sempadan antaranya. Perlulah diingat Allah itu esa iaitu tidak bersamaan samasekali dengan makhlukNya.

*** Kegairahan untuk menjelaskan betapa nyatanya wujud Allah s.w.t itu kekadang boleh membawa lebih kekeliruan kepada penuntut dan hendaklah penuntut menghindari seseorang yang mengajar tanpa sandaran kitab dan nas nas rujukan.

BERSAMBUNG INSYAAALLAH ***


.

MENGENAL ALLAH - AL KAUNU



09- Tiada yang memberi menafaat akan hati sesuatu seperti mengasingkan diri masuk dengan dia kepada medan fikir. 

10- Betapa cahaya hati bermula segala rupa akuan itu tersikat pada mata hatinya.

11- Atau betapa pergi berjalan kepada Allah pada hal ia bertambat dengan segala keinginannya. 

12- Atau betapa loba akan masuk kepada daerah wilayatullah pada hal tiada ia menyucikan dirinya daripada jenabah segala lalainya. Atau betapa diharap faham akan seni seni rahsia padahal ia tiada taubat daripada tergelincirnya.


13- Kaunu itu sekelian kelam dan hanyasanya menerang dia nyata hak ta'ala dalamnya. Maka barang siapa melihat kaunu pada hal tiada dipandangnya hak ta'ala dalamnya atau ada sisinya atau ada dahulunya atau kemudian maka bahawasanya telah menegahkan dia lah penglihatannya itu akan keadaan segala cahaya yang membukakan. Dan telah didindinglah daripadanya segala matahari ma'rifah dengan segala awan atsar yang wahmiah lagi a'damiah. 

*** Ringkasnya bahawa seandainya seorang yang ingin mendekatkan diri dengan Allah sewajarnyalah dia cuba menjauhkan sedaya upaya segala perkara yang boleh membantutkan usahanya itu. Komitmen dalam menuntut ilmu dan beramal sangat utama dan bukan sekadar harapan dan keinginan semata. 

*** Al Kaun atau alam iaitu seluruh kejadian termasuk diri adalah rahsia kejadian Allah. Mengenal diri sendiri serta alam seluruhnya adalah sangat penting sebagai jalan untuk mengenal penciptanya. 

Bersambung insyaaAllah ***



Saturday, February 15, 2014

MENGENAL ALLAH - PERMULAAN

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM WABIHI NASTA'IN
05- Apabila dihadapkan bagi mu suatu pihak daripada jalan berkenalkan diriNya maka jangan engkau bercinta sertanya dan jika sedikit sekali pun amal mu dengan sebab diperolih yang demikian itu. 

06- Maka bahawasanya ia tiada dihadapkan akan dia bagi mu malainkan pada hal ia berkehendak bahawa berkenalkan diriNya kepada mu. 

07-Tiadakah kau ketahui bahawasanya berkenalkan diri itu Ia membawa dia kepada mu dan segala amal itu engkau menghadiahkan dia kepadaNya dan dimana yang kau hadiahkan akan dia kepadaNya itu daripada yang Ia membawa dia atas mu itu. 

08- Berbagai bagai segala jenis amal itu kerana berbagai bagai datang segala hal. Segala amal itu yaitu segala rupa yang berdiri adalah segala nyawanya diperolih ikhlas dalamnya. Tanam olih mu wujud mu pada bumi yang tersembunyi maka barang yang tumbuh daripada yang tiada ditanam tiada sempurna tumbuhnya.



*** Alhamdulillah. Terjemahan karya utama ini didapati telah berbagai. Disini adalah terjemahan daripada waris pentashih pertama semoga rahmat Allah bagi mereka semua. Aminn.

*** Panduan adalah perlu bagi mereka yang mula ingin belajar.

*** Biasanya bahasa dalam kitab kitab lama agak susah untuk difahami kerana mengandungi dua lapis maksud bahkan kekadang dihuraikan dengan maksud berbeza olih guru yang berbeza atau guru yang sama.
Contohnya ayat 05 : Maksud 1- Kebiasaannya dalam waktu kita beribadah kekadang terasa khusyuk dan kekadang terasa kosong dan hambar jadi janganlah kita rasa malas untuk beribadah seperti biasa walaupun terasa hambar serta jangan berputus berusaha untuk kembali khusyuk.
                                 Maksud 2- Bila berdepan dengan tajrid yang sebentar dan tidak kekal sewajarnya kamu tidak mengharapkan tajrid yang sama berulang pada tempat dan ketika yang sama serta meninggalkan amal yang biasa yang kamu anggap sedikit atau terburu buru mengubah amal yang lain.

*** Ringkasnya keterangan 05 hingga 08 adalah berkaitan permulaan kepada seseorang mengenal Allah dengan pengenalan yang pertama. Bagi mereka yang asalnya dari keluarga muslim mereka biasanya menerima pengajaran dan maklumat tentang Islam melalui keluarga atau ceramah dan sebagainya. Namun maklumat dan ibadah yang dijalankan kekadang merupakan rutin atas maklumat dan pengajaran sahaja. Semua manusia samada berasal dari keluarga muslim atau bukan muslim akan menerima suatu berupa lintasan pengenalan dari Allah dan sesiapa yang mengambil dan memegangnya maka dikira mula 'berkenal' denganNya. Lintasan tersebut mungkin berlaku sewaktu seseorang sedang beribadah jika beliau seorang muslim atau sewaktu berdepan sesuatu peristiwa atau memerhati alam dan sebagainya bagi bukan muslim.
      Akibat pengenalan ini biasanya memberi kesan yang sangat mendadak dan kuat hingga boleh menyebabkan seseorang muslim sentiasa mengharap harap dan terkadang menjadi gopoh beramal. Pengarang kitab ini mengingatkan bahawa setiap amal itu perlu berada ditempatnya dan kekal ditempatnya tanpa perlu bergopoh gapah menambah dan mengubah dan amal itu perlu kekal dilaksanakan tanpa rasa bangga atau mengharapkan 'berkenal' selalu supaya perjalanan seterusnya bertambah baik.
      Setiap manusia menerima pengenalan dengan cara yang tersendiri jadi adalah perlu mereka mengambil langkah mendapatkan penambahan ilmu dan maklumat yang sewajarnya dengan sebaiknya juga.

Bersambung insyaaAllah ***