Saturday, February 15, 2014

MENGENAL ALLAH - PERMULAAN

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM WABIHI NASTA'IN
05- Apabila dihadapkan bagi mu suatu pihak daripada jalan berkenalkan diriNya maka jangan engkau bercinta sertanya dan jika sedikit sekali pun amal mu dengan sebab diperolih yang demikian itu. 

06- Maka bahawasanya ia tiada dihadapkan akan dia bagi mu malainkan pada hal ia berkehendak bahawa berkenalkan diriNya kepada mu. 

07-Tiadakah kau ketahui bahawasanya berkenalkan diri itu Ia membawa dia kepada mu dan segala amal itu engkau menghadiahkan dia kepadaNya dan dimana yang kau hadiahkan akan dia kepadaNya itu daripada yang Ia membawa dia atas mu itu. 

08- Berbagai bagai segala jenis amal itu kerana berbagai bagai datang segala hal. Segala amal itu yaitu segala rupa yang berdiri adalah segala nyawanya diperolih ikhlas dalamnya. Tanam olih mu wujud mu pada bumi yang tersembunyi maka barang yang tumbuh daripada yang tiada ditanam tiada sempurna tumbuhnya.



*** Alhamdulillah. Terjemahan karya utama ini didapati telah berbagai. Disini adalah terjemahan daripada waris pentashih pertama semoga rahmat Allah bagi mereka semua. Aminn.

*** Panduan adalah perlu bagi mereka yang mula ingin belajar.

*** Biasanya bahasa dalam kitab kitab lama agak susah untuk difahami kerana mengandungi dua lapis maksud bahkan kekadang dihuraikan dengan maksud berbeza olih guru yang berbeza atau guru yang sama.
Contohnya ayat 05 : Maksud 1- Kebiasaannya dalam waktu kita beribadah kekadang terasa khusyuk dan kekadang terasa kosong dan hambar jadi janganlah kita rasa malas untuk beribadah seperti biasa walaupun terasa hambar serta jangan berputus berusaha untuk kembali khusyuk.
                                 Maksud 2- Bila berdepan dengan tajrid yang sebentar dan tidak kekal sewajarnya kamu tidak mengharapkan tajrid yang sama berulang pada tempat dan ketika yang sama serta meninggalkan amal yang biasa yang kamu anggap sedikit atau terburu buru mengubah amal yang lain.

*** Ringkasnya keterangan 05 hingga 08 adalah berkaitan permulaan kepada seseorang mengenal Allah dengan pengenalan yang pertama. Bagi mereka yang asalnya dari keluarga muslim mereka biasanya menerima pengajaran dan maklumat tentang Islam melalui keluarga atau ceramah dan sebagainya. Namun maklumat dan ibadah yang dijalankan kekadang merupakan rutin atas maklumat dan pengajaran sahaja. Semua manusia samada berasal dari keluarga muslim atau bukan muslim akan menerima suatu berupa lintasan pengenalan dari Allah dan sesiapa yang mengambil dan memegangnya maka dikira mula 'berkenal' denganNya. Lintasan tersebut mungkin berlaku sewaktu seseorang sedang beribadah jika beliau seorang muslim atau sewaktu berdepan sesuatu peristiwa atau memerhati alam dan sebagainya bagi bukan muslim.
      Akibat pengenalan ini biasanya memberi kesan yang sangat mendadak dan kuat hingga boleh menyebabkan seseorang muslim sentiasa mengharap harap dan terkadang menjadi gopoh beramal. Pengarang kitab ini mengingatkan bahawa setiap amal itu perlu berada ditempatnya dan kekal ditempatnya tanpa perlu bergopoh gapah menambah dan mengubah dan amal itu perlu kekal dilaksanakan tanpa rasa bangga atau mengharapkan 'berkenal' selalu supaya perjalanan seterusnya bertambah baik.
      Setiap manusia menerima pengenalan dengan cara yang tersendiri jadi adalah perlu mereka mengambil langkah mendapatkan penambahan ilmu dan maklumat yang sewajarnya dengan sebaiknya juga.

Bersambung insyaaAllah ***